bhnews@bh.com.my
PENDANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengkaji semula harga rumah di bawah Projek Pemajuan Kawasan (PPK) berikutan kontraktor kurang berminat menyertai tender pembinaan kerana tawaran harga yang rendah.
Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata harga RM48,000 seunit di bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) tidak lagi sesuai dengan harga pasaran dan menyebabkan kontraktor tidak mendapat keuntungan.
“Harga RM48,000 seunit rumah dengan keluasan 663 kaki persegi yang ditetapkan ketika ini agak rendah, sekali gus mengakibatkan tender pembinaan rumah berkenaan ditolak kontraktor.
“Jika ramai kontraktor tolak untuk bina rumah ini, maka agak sukar untuk kita capai sasaran untuk membina 3,000 unit rumah PPK setahun, jadi kita sedang mengkaji harga ini supaya dapat tender dengan cepat dan teratur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal (PPK Hujung Keton) di Kampung Hujung Keton di sini, hari ini.
Dr Abd Latiff berkata sehingga kini terdapat 30 PPK seluruh negara dan pemilihan rumah dilakukan mengikut syarat dan prosedur yang sangat ketat dan telus.
Katanya, hanya keluarga yang benar-benar layak akan menerima rumah berkenaan.
“Dari segi pemilihan ia tiada pilih kasih, kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang telus. Setakat ini saya tidak mendapat sebarang aduan mengenai mereka yang tidak layak menduduki rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut memberi amaran supaya semua penerima rumah berkenaan tidak menyewakannya kepada pihak ketiga.
“Belum ada laporan tetapi jika kita dapat tahu mereka ada iklan macam-macam, tindakan akan diambil. Rumah ini kita berikan kepada mereka untuk didiami dan mereka harus patuhi perjanjian ditetapkan.
“Jika ada yang berbuat demikian mereka boleh disingkirkan dari memiliki rumah ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




