Pelajar OKU gembira terima sumbangan

Pelajar OKU gembira terima sumbangan

HULU TERENGGANU: Kepiluan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) menyambut Syawal tanpa kedua ibu bapa sejak 10 tahun lalu terubat apabila menerima sumba­ngan pakaian dan duit raya daripada Yang Dipertuan Muda Terengganu.

Syarifah Damiea Adrianna Syeikh Amir Ridhuan, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang di sini, merupakan antara 300 penerima sempena pengurniaan sumba­ngan Aidilfitri 2023 Daerah Hulu Terengganu dan Marang di sini.

Pada majlis berkenaan, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bersama kekanda dan adinda, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az serta Tengku Fatimatuz Zahra’ berkenan mengurniakan sumbangan tersebut.

Menurut Syarifah Damiea Adrianna, dia kehilangan ibu ketika berusia empat tahun manakala bapanya, Syeikh Amir Ridhuan Abdul Ghafar, 50-an, tidak lagi datang menemuinya yang tinggal di Kampung Butut, Kuala Berang.

“Saya dijaga oleh nenek serta ibu saudara, Nor Asiah Abd. Wahad, 58, yang bekerja sebagai tukang jahit setelah ibu meninggal dunia. Mereka tempat saya tum­pang kasih sayang, rai hari raya bersama-sama.

“Saya sendiri tidak pasti di mana ayah berada sekarang ke­rana setelah ibu tiada, kami belum pernah lagi berjumpa. Cuma saya tahu sebelum ini ayah be­kerja di Vietnam,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Tambah anak tunggal yang alami kecacatan di bahagian kaki sejak lahir itu, hanya rasa syukur serta terima kasih dapat diucapkan kepada semua atas sumba­ngan diterima itu dan ia cukup membuatkan dirinya gembira.

Lebih bermakna baginya ialah kenangan dapat berjumpa serta melihat lebih dekat anakanda-anakanda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. – UTUSAN

Scroll to Top