England pamer aksi meyakinkan, benam Costa Rica 3-0

England pamer aksi meyakinkan, benam Costa Rica 3-0

ORLANDO: England membuktikan mereka tidak terjejas dengan gangguan cuaca apabila menewaskan Costa Rica 3-0 dalam aksi persahabatan pemanas badan terakhir menjelang kempen Piala Dunia, semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Inter&Co itu terpaksa ditangguhkan selama sejam susulan hujan lebat dan ribut petir yang menyebabkan keadaan padang tidak sesuai untuk digunakan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Thomas Tuchel itu tetap menampilkan aksi bertenaga dengan Anthony Gordon muncul pemain paling menyerlah menerusi satu gol dan satu bantuan jaringan.

Kemenangan itu turut dilihat mengukuhkan peluang Gordon untuk berada dalam kesebelasan utama England menjelang perlawanan pembukaan menentang Croatia pada 17 Jun nanti.

England membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan apabila Gordon berjaya melepasi kawalan pemain lawan sebelum melakukan hantaran lintang yang disudahkan Declan Rice.

Gordon hampir memperoleh sepakan penalti sebelum tamat babak pertama, namun keputusan pengadil Katja Koroleva dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Memasuki babak kedua, Tuchel melakukan enam pertukaran serentak pada minit ke-63 termasuk mengeluarkan kapten pasukan, Harry Kane.

Ketiadaan Kane membolehkan Gordon mengambil alih tugas sebagai pengambil sepakan penalti selepas percubaan Eberechi Eze terkena tangan pemain pertahanan Costa Rica di dalam kotak penalti.

Pemain sayap itu tidak mensia-siakan peluang yang diberikan apabila tenang menyempurnakan sepakan berkenaan untuk meledak gol antarabangsa ketiganya.

Jude Bellingham turut mencuri perhatian apabila mempamerkan aksi berkualiti di bahagian tengah, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam perancangan Tuchel bagi menghadapi saingan sebenar Piala Dunia.

Costa Rica gagal memberikan tentangan bermakna, manakala England terus menguasai permainan dan menambah jaringan ketiga menerusi Ollie Watkins selepas memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Morgan Rogers yang ditepis penjaga gol lawan.

Kemenangan tersebut memberi suntikan keyakinan kepada The Three Lions yang kini dianggap antara calon utama untuk mencabar kejuaraan dunia.

Walaupun belum menjulang sebarang trofi utama selama enam dekad, England memiliki rekod memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila muncul naib juara Kejohanan Eropah (Euro) sebanyak dua kali serta mara ke separuh akhir dan suku akhir Piala Dunia di bawah bekas pengendali, Gareth Southgate.

Selepas aksi menentang Croatia, England dijadualkan berdepan Ghana di Boston dan Panama di New Jersey dalam saingan Kumpulan L. – AFP

Scroll to Top