
Son Heung-min (kiri) jadi taruhan Korea Selatan di bahagian serangan. Foto Agensi
KOREA Selatan dilihat memiliki kelebihan menjelang aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026 menentang Republik Czech selepas diramalkan sebagai pasukan pilihan oleh superkomputer Opta.
Berdasarkan simulasi terkini firma statistik bola sepak itu, skuad bimbingan Hong Myung-bo mempunyai peluang kemenangan 42.9 peratus berbanding 31.1 peratus untuk Republik Czech, manakala kemungkinan keputusan seri ialah 26 peratus.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu lima kali sebelum ini dengan Republik Czech memegang kelebihan rekod, namun Korea Selatan memenangi pertemuan terakhir mereka 2-1 hampir sedekad lalu.
Korea Selatan juga hadir dengan kedudukan ranking yang lebih baik apabila berada di tangga ke-25 dunia berbanding lawan mereka yang menghuni ranking ke-40.
Di bahagian serangan, Son Heung-min dan Cho Gue-sung dijangka menjadi sandaran utama Taeguk Warriors selepas masing-masing muncul antara penjaring terbanyak pasukan tahun ini.
Republik Czech pula mempertaruhkan ketajaman Patrik Schick dan Ladislav Krejci dalam usaha mencuri mata penting pada aksi pembukaan.
Opta turut meletakkan Mexico sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan A, namun Korea Selatan dilihat memiliki peluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati berdasarkan prestasi dan unjuran semasa.
Perlawanan Korea Selatan menentang Republik Czech berlangsung di Estadio Guadalajara, Mexico esok (10 pagi waktu Malaysia).



