am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Berjalan ramai-ramai sambil menyorong motosikal sejauh kira-kira tiga kilometer.
Itu padah diterima 71 penunggang motosikal berusia 16 hingga 27 tahun di sekitar bandar ini yang ditahan pada Op Samseng Jalanan di Jalan Kluang-Ayer Hitam di sini, malam tadi.
Operasi bermula jam 11 malam hingga jam 1.30 pagi itu dilakukan susulan aduan awam berhubung tindakan kumpulan terbabit yang sering membuat bising sehingga menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, semua motosikal terbabit diiringi sejauh kira-kira tiga kilometer ke Balai Trafik Batu Pahat untuk diperiksa dan tindakan saman.
“Operasi ini dijalankan 15 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
“Hasilnya, 155 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala 25 motosikal disita,” katanya dihubungi hari ini.
Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 64(1) APJ Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta mengubah suai struktur kenderaan.
“Kumpulan terbabit sering membuat bising terutama pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata, BSPTD IPD Batu Pahat akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di sekitar daerah ini dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti negatif terbabit.
“Ibu bapa juga dinasihati supaya memantau struktur jentera anak masing-masing selain melarang mereka daripada keluar tanpa tujuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

