KBS hasrat serap sukarelawan SUKMA XXII ke Sukan Sea 2027

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan hasrat Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ‘melamar’ sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor untuk diserap sebagai sukarelawan Sukan Sea tahun depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, perbincangan itu bertujuan menyelaraskan proses pemilihan dan penyerapan sukarelawan SUKMA XXII Selangor 2026 ke temasya sukan antara negara Asia Tenggara itu.

“Terima kasih ‘unsung heroes’, sukarelawan kita. Insya-Allah untuk semua sukarelawan kita, akan ada tindakan susulan daripada kerajaan negeri untuk kita menyemarakkan lagi program sukarelawan ini.

“Saya ada berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq, beliau ada menyampaikan hajat pihak KBS hendak melamar sukarelawan kita untuk diserap sebagai sukarelawan pada Sukan Sea nanti. Ini satu perkembangan baik yang membuktikan pengiktirafan KBS terhadap sukarelawan SUKMA XXII.

“Nanti saya akan bincang dengan pihak sekretariat. Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Datuk Mohd Yazid Sairi untuk kita sesuaikan dari segi keperluan dan kapasiti kerana Sukan Sea ini adalah sukan peringkat Asia Tenggara.

“Kita perlu selaraskan sukarelawan yang berkhidmat untuk SUKMA ini agar mereka dapat diserapkan sebagai sukarelawan untuk Sukan Sea tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Aneka Walk, Seksyen 14, di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohd Najwan berkata, pihaknya akan membuat pemilihan memandangkan jumlah keseluruhan sukarelawan SUKMA XXII yang bertugas melebihi 10,000 orang.

“Mungkin ada beberapa keperluan membabitkan tempat penganjuran acara di Selangor, di situ kita boleh mengadaptasi sukarelawan kita.

“Jadi daripada keseluruhan lebih 10,000 sukarelawan yang memberikan khidmat bakti di sukan SUKMA ini. Insya-Allah kita akan buat pemilihan nanti, cuma di peringkat sekretariat kita akan selaraskan dulu,” katanya.

Malam tadi, Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA XXII Selangor 2026 dengan memperoleh 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, yang menjadikan kutipan keseluruhan pingat sebanyak 245 pingat.

Kejuaraan kali ke-10 ini menjadikan Selangor sebagai negeri terbanyak menjuarai temasya sukan itu sejak mula penganjuran pada tahun 1986, iaitu 40 tahun lalu membabitkan 22 edisi.

Lebih manis kejayaan itu mengatasi pencapaian terbaik ketika kali pertama Selangor menjadi tuan rumah, 28 tahun lalu malah berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas.

Sebelum ini, Selangor pernah menjuarai SUKMA pada tahun 1988, diikuti dengan enam edisi berturut-turut pada tahun 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan seterusnya pada tahun 2013 dan 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top