KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul Bagi Tahun 1448/2026 Kategori Tokoh Perdana pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026 hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Syed Azman, 66, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan berkenaan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.
Antara sumbangan beliau dalam industri penerbangan adalah pencapaian Weststar dalam menyediakan lebih 40 helikopter untuk operasi minyak dan gas menjadikan media tempatan dan antarabangsa merujuk Syed Azman sebagai ‘Raja Helikopter Malaysia’.
Gelaran itu mencerminkan dominasi beliau dalam sektor penerbangan sokongan tenaga serta kedudukan Weststar sebagai penyedia utama di rantau Asia Pasifik.
Walaupun sering dikaitkan dengan kekayaan dan pengaruh korporat, beliau tetap mengekalkan imej sebagai pemimpin rendah diri serta berhati-hati dalam memberi kenyataan media, selaras dengan latar ketenteraannya yang menekankan kerahsiaan dan urusan strategik.
Syed Azman yang merupakan pemilik syarikat perkhidmatan helikopter, Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas (O&G)
Antara syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatannya ialah Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.
Selain itu, beliau aktif terlibat dalam pelbagai inisiatif kebajikan dan sumbangannya merangkumi pembangunan infrastruktur komuniti, bantuan bencana, sokongan kepada rumah anak yatim dan program kebajikan setempat.
Banyak inisiatif ini dijalankan secara senyap tanpa publisiti, selari dengan pendekatannya yang lebih suka bekerja di belakang tabir.
Syed Azman turut menyokong pembinaan dan penyelenggaraan surau serta masjid di beberapa kawasan, khususnya di Kedah dan Lembah Klang sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada pembangunan komuniti Islam. – UTUSAN
