puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Hazman Al-Idruss, terkilan apabila keluarganya turut menjadi bahan kecaman apabila didakwa melakonkan ritual agama Hindu ketika menjalani penggambaran bersama produksi Denmark di Bali pada tahun lalu.
Menurut Hazman atau nama sebenarnya Syed Muhammad Hazman Syed Yusof Al-Idrus, 31, apabila ibu bapanya turut diheret bersama dalam isu berkenaan, emosi dan perasaannya turut terkesan.
“Saya tidak kisah orang kecam saya. Saya tidak suka mereka sentuh keluarga saya. Cuma saya terkilan apabila ada komen yang menjurus kepada penghinaan kepada keluarga saya. Mereka persoalkan bagaimana keluarga saya didik saya.
“Kalau orang cakap pasal saya, saya tidak kisah tetapi jangan libatkan keluarga saya. Mereka membesarkan saya dengan cukup bagus dan cukup adab.
“Saya dididik keluarga dan saya boleh bezakan mana yang sepatutnya buat dan mana yang tidak perlu langsung nak buat. Kalau ada rasa tidak suka, saya faham, tetapi jangan cepat menghukum keluarga saya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun), di sini.
Bagaimanapun, Hazman berkata, dia langsung tidak melakukan sebarang upacara yang menyalahi agama Islam kerana sebelum menjalani penggambaran itu dia sudah melakukan perbincangan awal bersama pengarah.
“Pengarah ada bertanya kepada saya tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh saya lakukan. Saya berterus terang yang saya tidak boleh melakukan ritual agama lain. Jadi kami berbincang dan akhirnya saya lakukan mana yang boleh sahaja.
“Dalam hati saya istighfar banyak kali dan saya tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar hukum Islam. Saya dah beri penjelasan di media sosial tentang perkara ini. Tetapi ianya disalah tafsir,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela ini turut berkata, meskipun penggiat perfileman di Indonesia bebas melakonkan babak yang menyentuh sensitiviti agama, dia masih tahu batas yang tidak boleh dilanggar sebagai seorang Muslim.
“Ini sebenarnya pilihan masing-masing. Ada pelakon Indonesia yang sanggup melakonkan babak agama lain, malah ada pelakon yang beragama Islam yang memakai tangkal salib untuk menghidupkan cerita.
“Itu cara dan kebebasan mereka. Sebagai pelakon Malaysia, kita tahu setakat mana kita boleh pergi, langsung tidak melampaui batas.
“Kalau perkara itu keterlaluan, saya tidak akan buat. Lebih baik saya tolak sahaja tawaran itu. Itulah cabaran yang saya hadapi selama berada di Indonesia,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Hazman turut membintangi filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun) yang turut dibarisi pelakon lain seperti Asmara Abigail, Fabian Loo, Brett Tutor dan ramai lagi.
Filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

