Kira-kira 17 tahun mewarnai industri hiburan, nama Neelofa sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan peminat yang masih mengingati aksi lakonan serta pengacaraannya.
Screenshot
Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu, pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor itu kini lebih banyak meluangkan masa di rumah bagi memberi perhatian kepada keluarga.
Memetik laporan Kosmo, menurut Neelofa, keputusan untuk berehat daripada dunia hiburan buat sementara waktu adalah pilihannya sendiri kerana dia mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak.
“Ya Allah, saya memang duduk rumah sajalah buat masa sekarang. Ada yang ajak saya buat filem atau program.
“Tapi bagi saya, macam sekarang ini saya kena berlaku adil kepada anak-anak. Mereka ada hak ke atas saya dan saya sendiri ada pilihan.
“Ada sesetengah orang tak ada pilihan, dia kena kerja. Tapi saya pilih untuk duduk bersama mereka (anak-anak) serta banyakkan masa dengan mereka.
“Tak tahu lagi apa terjadi dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang. Mungkin ada program televisyen atau selebihnya,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam industri seni, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu menjelaskan bahawa dia tidak pernah mengumumkan persaraan, sebaliknya hanya mengambil keputusan untuk menyusun semula keutamaan dalam kehidupannya ketika ini.

“Tak ada (mengacara), tapi masih ada tawaran sampai sekarang. Saya cakap tak boleh.
“Saya tak pernah cakap saya bersara tapi mungkin ‘timeline’ dia bukan untuk hiburan buat masa ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Neelofa mengakui dia tidak sempat untuk merindui dunia seni kerana rutin harian banyak dipenuhi dengan tanggungjawab menguruskan keluarga selain perniagaannya.
Artikel lain: Bukan sengaja rahsiakan! Neelofa waspada umum hamil, demi keselamatan kandungan
“Sejujurnya, saya tak sempat nak rindu (dunia hiburan) sebab penat ada dua orang anak. Saya rasa macam walaupun banyak masa di rumah, saya tak sempat nak bagi sepenuhnya.
“Ada masa kita nak rehat, ada masa nak kena jaga perniagaan, ada masa nak masak, layan atau main dengan anak-anak.
“Saya rasa tak sempat nak fikir benda luar. Kalau mereka dah besar, dah sekolah, mungkin masa itu saya rasa ada waktu lapang, kena buat sesuatu,” tambahnya lagi.
Sumber: Kosmo (Nur Emira Saizali)
