Jakarta: Jumlah kematian akibat gempa bumi yang melanda bahagian timur Indonesia meningkat kepada 100 orang pada Isnin ketika operasi bantuan memasuki hari ke-10, menurut ketua agensi bencana negara itu.
Gempa bumi magnitud 7.7 itu menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Timur pada 15 Ogos lalu, diikuti ribuan gegaran susulan.
Gempa itu merosakkan lebih 73,000 rumah dan memaksa kira-kira 180,000 penduduk dipindahkan.
Ketua agensi bencana, Suharyanto berkata, jumlah kematian meningkat kepada 100 orang selepas lebih ramai mangsa yang sedang menerima rawatan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, selain lebih 1,600 orang turut cedera.
Menurut Suharyanto, pihak berkuasa mengagihkan bantuan menggunakan helikopter, lori dan motosikal.
Gempa bumi itu adalah gempa paling dahsyat di Indonesia sejak 2022, apabila gempa magnitud 5.6 mengorbankan ratusan nyawa di Jawa Barat.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 290 juta penduduk, terletak di kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’, iaitu zon yang sangat aktif dari segi seismik, tempat pertemuan plat tektonik yang menyebabkan gempa bumi dan letusan gunung berapi kerap berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd

