KUALA LUMPUR – Kem silat terus menambah koleksi emas negara kepada tiga apabila Muhammad Izzul Irfan Marzuki meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 hari ini selepas memenangi kelas putra bawah 65 kilogram (kg).
Izzul berjaya menumbang lawan dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
Kemenangan itu cukup bermakna kerana ia melengkapkan misi balas dendam pesilat dari Terengganu itu selepas ditewaskan pesaing sama di Kejuaraan Pencak Silat di Kashmir, India, pada Oktober tahun lalu.
Setakat ini, kem silat sudah menuai empat emas di Kemboja dengan yang pertama menerusi gandingan kembar, Muhammmad Danial Azray Noorazizan dan Muhammmad Danial Azrol dalam kelas ganda putra pada Ahad lalu.
Pesilat wanita negara, Norsyakirah Muksin dan Nor Farah Mazlan kemudian meneruskan momentum berkenaan masing-masing menerusi kelas putri bawah 45kg dan bawah 50kg, hari ini. – MalaysiaGazette




