LHDN mesti betul-betul bersih – PM

LHDN mesti betul-betul bersih – PM

fahmy.azril@bh.com.my

Gombak: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mesti bersih tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam tatakelola lembaga berkenaan sehingga boleh menjejaskan reputasi lembaga berkenaan.

Dengan itu, Perdana Menteri berkata, barulah lembaga itu dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengutip cukai dengan lancar sekali gus meningkatkan hasil negara.

Katanya, penting untuk memastikan agar tiada pengaruh mana-mana pihak terhadap lembaga itu bagi memastikan bebas salah laku dan salah guna kuasa dalam LHDN.

“Ini maknanya tatakelola kita kena urus dengan betul, jangan biarkan pelanggaran peraturan…inflasi turun, defisit turun, hasil pun LHDN lapor bahawa hasil kita bertambah.

“Dari mana bertambah? Orang yang dulu curi-curi tak bayar cukai. Semua sekarang semua bayar cukai. Yang orang bawah bayar cukai…orang kaya di atas bayar buku akuan tiga empat, dia lari dari cukai.

“Tetapi sekarang Alhamdulillah kerana dia tahu tak boleh sogok pemimpin. Maka LHDN harus bersih betul-betul. Maka hasil yang kita peroleh itu meningkat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Peringkat Negeri Selangor di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ketika menyampai ucapan di hadapan lebih 20,000 hadirin, Perdana Menteri turut menyentuh kejayaan pentadbirannya yang berjaya mencatatkan pelaburan bernilai RM170 bilion hasil lawatan ke China, baru-baru ini.

Mendedahkan faktor mengapa republik itu melabur sebanyak itu di Malaysia, Anwar menjelaskan tatakelola Kerajaan Persekutuan sekarang yang bersih membuatkan China yakin untuk melabur di negara ini.

“Ini kerja berpasukan. Kita mencatatkan pelaburan daripada Amazon bernilai berpuluh bilion. Geely RM10 bilion di Tanjung Malim, (nilai pelaburan) RM170 bilion oleh China datang memberi pelaburan dan pekerjaan di negara kita.

“Sebab apa? Mereka percaya ktia tidak sakau, tidak curi duit komisen dan kita tahu kerja menjaga kepentingan rakyat.” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top