mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ada pasukan Liga Malaysia (Liga M) dilihat kurang berminat untuk membentuk jalinan hubungan baik dan kuat dengan penyokong masing-masing.
Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berkata, kesilapan itu menyebabkan keupayaan pasukan kurang menyengat apabila tidak mendapat sokongan padu daripada pemain ke-12.
Malah, beliau berkata, pasukan yang memiliki jaringan penyokong kuat dan setia seperti Kelantan seharusnya lebih bijak membentuk hubungan supaya mereka untuk hadir ke stadium, sekali gus menyumbang kepada kantung kelab.
“Sewaktu saya uruskan pasukan (Selangor) dulu, salah satu cara saya buat dengan membawa semua pemain pergi ke beberapa daerah untuk jumpa penyokong.
“Benda itu kena buat supaya penyokong yang tak minat atau minat suam-suam kuku bersemangat untuk turun ke stadium.
“Anda kena faham bola sepak profesional membabitkan penyokong dan mereka yang akan beli tiket untuk masuk ke stadium. Kelantan sejak zaman dahulu hingga ke hari ini, penyokong mereka sangat setia dengan pasukan itu.
“Apa sahaja cerita mengenai pengurusan dan pasukan, mereka tetap sayang dengan pasukan. Kelantan tak sama dengan negeri lain, Kelantan unik sedikit, penyokong mereka sangat fanatik dengan bola sepak mereka.
“Penyokong Kelantan bukan hanya di Kelantan, penyokong mereka ada di seluruh negara. Dekat mana pun Kelantan bermain akan ada penyokong mereka yang datang,” katanya.
Mengikut rekod, Kelantan yang pernah mengecapi kegemilangan terutama memenangi kejuaraan ‘treble’ pada 2012 kini bergelut dengan masalah dalaman dan menghuni tangga tercorot Liga Super.
Sementara itu, ketika ditanya adakah Norizam Tukiman wajar melepaskan kelab itu dengan harga lebih rendah berbanding apa yang dibelanjakannya ketika mengambil alih pasukan pada 2020, Zakaria menjelaskan perkara berkenaan terpulang kepada pemilik The Red Warriors (TRW) itu.
“Tiada siapa nak rugi dan tiada orang luar yang boleh kata nilai sesebuah pasukan, sebab itu hanya pemilik yang tahu. Itu hak Norizam nak nilai, siapa sanggup beli, belilah.
“Terpulang kepada dia, seandainya Kelantan FC dianggap sebagai masalah dalam cabang perniagaannya, dia rugi RM1 juta atau RM2 juta apa salahnya.
“Selepas itu kepala dia boleh fikir benda lain daripada duit asyik keluar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

