MPP UMT kesal kritikan melampau terhadap pelajar

MPP UMT kesal kritikan melampau terhadap pelajar

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (MPP UMT) kesal dengan sikap netizen yang memberi kritikan melampau terhadap pelajar yang menghadiri satu majlis di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan, baru-baru ini.

Menurut MPP UMT, kaedah teguran yang digunakan mereka telah mencemarkan nama universiti tersebut dalam media sosial.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila imej muka pelajar-pelajar langsung tidak dikaburkan bagi menjaga aib dan privasi mereka.

“MPP UMT meluahkan rasa kekesalan dengan kritikan melampau dan tindakan menghukum pelajar yang terlibat secara semberono.

“Keterlihatan imej UMT sebegitu rupa bakal memberikan kesan kepada kebolehpasaran graduan UMT pada pasaran industri akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aksi sekumpulan pelajar UMT yang menari semasa menyaksikan konsert yang diadakan pada program anjuran kelab pelajar tular dalam media sosial termasuk Facebook.

Ramai netizen yang mengecam pelajar-pelajar terbabit sambil menyatakan bahawa aksi mereka itu bukan budaya masyarakat di Terengganu.

Pada masa sama, MPP UMT menyambut baik teguran yang diberikan dan akan menambah baik kawalan program pada masa akan datang.

MPP UMT turut menasihatkan kelab-kelab pelajar supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan program supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

“MPP UMT juga menyokong arahan pembatalan aktiviti/program berbentuk konsert di universiti awam sehingga dimaklumkan sebaliknya oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

“MPP UMT mengambil iktibar terhadap insiden ini dan akan bekerjasama erat bersama pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dalam agenda pemerkasaan mahasiswa selari dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di samping sentiasa mempergiat usaha menanam nilai murni dalam kalangan mahasiswa ke arah menjana graduan yang holistik,” jelasnya.

MPP UMT berharap pelajar-pelajar universiti berkenaan bertenang dan kekal fokus kepada peperiksaan yang bakal dihadapi bulan hadapan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top