Jemaah haji perlu lebih realistik

Jemaah haji perlu lebih realistik

Kota Bharu: Bakal jemaah haji pada tahun ini diminta untuk bersikap lebih realistik mengenai peluang menunaikan ibadah berkenaan berikutan dunia masih dibelenggu isu penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, setakat ini masih belum ada sebarang keputusan daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan syarat tambahan kepada bakal jemaah haji termasuk sama ada perlukan suntikan biasa atau ada suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, pada masa sama, kertas cadangan mengenai persiapan haji bagi bakal jemaah pada tahun ini sudah siap dan akan dibincangkan ke Kabinet bergantung kepada situasi semasa wabak berkenaan.

“Saya berharap agar bakal jemaah haji lebih realistik dan kita tidak mahu disaat akhir bahawa kuota sudah ada, namun kebarangkalian suasana tidak mengizinkan.

“Kebiasaannya pergerakan jemaah haji bermula seawal Syawal dan menjangkakan dalam tempoh lebih kurang sebulan atau dalam bulan Ramadan, kita sudah mendapat gambaran mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Qaseh YAPEIM di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang di Kedai Buloh, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM30,000 kepada seramai 70 orang golongan sasar termasuk petani dan nelayan yang terkesan disebabkan musim tengkujuh lalu dan musim kemarau sedang melanda.

Mengulas mengenai pemecatan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh Taher Benten, Ahmad Marzuk berkata, ia tidak menjejaskan persetujuan kerajaan Arab Saudi yang memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

“Persetujuan ini adalah antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memecat beberapa orang pegawai tinggi dalam pemerintahan negara Teluk berkenaan.

Raja Salman memecat Dr Mohammed Saleh bin Taher Benten yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Haji dan Umrah dan melantik Issam bin Saad bin Saeed menggantikan beliau buat sementara waktu sebagai tambahan kepada tugasnya sebagai Menteri Negara dan ahli Kabinet.

Scroll to Top