Kesan vaksin: Pakar kaji insiden pembekuan darah

Kesan vaksin: Pakar kaji insiden pembekuan darah

PUTRAJAYA: Pakar tempatan akan meneliti data klinikal dan maklumat membabitkan vaksin AstraZeneca yang dikaitkan dengan beberapa kejadian pembekuan darah oleh penerima vaksin itu, di negara luar.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini pengeluar vaksin itu memaklumkan tidak ada data yang menunjukkan kaitan langsung vaksin AstraZeneca dengan kes pembekuan darah.

“Vaksin AstraZeneca belum lagi sampai di Malaysia dan belum digunakan lagi di sini. Dalam tempoh masa sehingga ia tiba, kita akan melihat kepada maklumat data klinikal berkenaan kejadian itu.

“Apabila pakar membuat rumusan berkenaan isu ini, kita akan umumkan nanti.

“Buat masa ini, kita tidak ada pendirian lain (berhubung vaksin berkenaan),” katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara Eropah seperti Austria, Estonia, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Denmark dan Ireland selain Thailand di Asia Tenggara, mengumumkan menggantung pemberian vaksin berkenaan kepada penduduk di negara masing-masing, susulan beberapa kes pembekuan darah yang dialami penerimanya.

Austria sebelum ini mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

AstraZeneca mengeluarkan kenyataan menyatakan selepas meninjau data keselamatan lebih daripada 17 juta yang menerima pelalian di negara Kesatuan Eropah dan United Kingdom (UK), ia mendapati tiada bukti peningkatan risiko embolisme pada paru-paru, trombosis saraf dalam (DVT) atau trombositopenia, dalam mana-mana kumpulan umur, jantina, kumpulan atau negara tertentu.

Berita lanjut menyusul

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top