Lelaki ditemukan maut dalam kebun kelapa sawit, lapan ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kebun kelapa sawit dipercayai dibunuh di Banting, Kuala Langat, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan anggota bertugas dari Cawangan Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bahawa seorang lelaki berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kebun kelapa sawit kira-kira jam 5 petang.

“Susulan kejadian itu, lapan individu ditahan dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top