KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah mengemukakan kekosongan kerusi Parlimen Subang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan peletakan jawatan penyandangnya, Wong Chen.
Perkara itu dimaklumkan ketika sidang khas Parlimen bagi membentangkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
“Seperti mana Yang Berhormat sedia maklum, Yang Berhormat bagi kawasan Subang, Wong Chen menghantar surat untuk melepaskan keahlian beliau berkuat kuasa semalam (Isnin) sebagai ahli Dewan Rakyat kepada saya.
“Saya telah memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi ahli Parlimen Subang selaras perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Wong Chen sah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa jam 5 petang, 10 Ogos 2026.
Wong Chen dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, surat peletakan jawatan tersebut diserahkan kepada Johari pada 5 Ogos lalu.
“Pada 5 Ogos, saya telah bertemu dengan Speaker dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen.
“Bagaimanapun, kami mencapai persetujuan bersama untuk tidak mendedahkan sebarang butiran hingga 10 Ogos jam 5 petang,” ujarnya.