Hati-hati didatangi individu dakwa orang tengah, perunding KPDNHEP

Hati-hati didatangi individu dakwa orang tengah, perunding KPDNHEP

Kuala Terengganu: Usahawan baharu terutama golongan muda diminta berwaspada jika didatangi pihak tertentu yang mendakwa orang tengah atau perunding dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memudahkan urusan termasuk bagi mendapatkan lesen jualan langsung.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan aduan diterima pihaknya daripada beberapa anak muda yang menanggung kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan helah pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai perunding dilantik KPDNHEP.

Beliau berkata, KPDNHEP tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai orang tengah, perunding atau ejen untuk mempromosi khidmat dan produk disediakan kementerian termasuk bagi membantu usahawan baharu mendapatkan lesen jualan langsung dalam masa singkat.

“Kementerian tidak melantik sebarang ejen untuk mendapatkan apa-apa permit atau kelulusan sama ada melalui francais, jualan langsung atau apa saja yang berkaitan dengan kementerian.

“Jadi kalau ada, sila hubungi dan lapor segera kepada kita dan pihak berkuasa. Walaupun ini kes terpencil, namun perlu ditangani bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa terutama dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini dan ramai ‘struggle’ (berjuang) untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Buluh, di sini, hari ini.

Rosol berkata, sebarang urusan untuk proses mendapatkan lesen jualan langsung, khidmat dan produk ditawarkan KPDNHEP perlu melalui saluran rasmi di kementerian dan bukan melalui perunding atau orang tengah.

Beliau berkata, KPDNHEP mempunyai jumlah pegawai dan kakitangan mencukupi untuk mengendalikan urusan seperti prosedur mendapatkan lesen perniagaan jualan langsung atau mempromosi khidmat dan produk kementerian dan tidak pernah menggunakan khidmat mana-mana perunding atau orang tengah bagi tujuan itu.

Scroll to Top