DOLLA kini lebih 'edgy'

DOLLA kini lebih 'edgy'

puterialia@hmetro.com.my

Kumpulan M-pop, DOLLA kembali mengubati kerinduan peminat selepas penantian selama lapan bulan menerusi kemunculan single terbaharu mereka berjudul G.O.A.T.

Menerusi karya bertaraf antarabangsa ini, DOLLA tidak berseorangan apabila berkolaborasi bersama ikon rap tersohor dari Thailand, F.Hero.

Pelancaran lagu ini sekali gus menandakan permulaan era baharu paling berani buat DOLLA setakat ini, selain mencerminkan aspirasi tinggi mereka untuk terus melebarkan pengaruh ke seluruh rantau Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.

Istimewanya, G.O.A.T mendapat sentuhan penerbit dan penulis lagu tersohor dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan karya meletup antarabangsa seperti I AM dan Kitsch nyanyian kumpulan K-Pop popular, IVE.

Karya ini turut menggabungkan seni produksi muzik pop yang mantap bersama elemen rap penuh karakter yang pastinya memberi impak tersendiri buat pendengar.

Selain Audun, lagu ini turut mendapat sentuhan penulisan bersama daripada Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen serta F.Hero sendiri.

Membawa mesej mendalam mengenai keyakinan diri dan keberanian menjadi diri sendiri, G.O.A.T merayakan kekuatan untuk mengharungi pelbagai cabaran tanpa membiarkan rasa ragu-ragu menguasai diri.

Jalinan kerjasama bersama F.Hero ini juga dilihat sebagai satu langkah strategik dan penting dalam usaha DOLLA mengembangkan sayap mereka ke pasaran Thailand yang kini diiktiraf antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara.

Sebagai salah seorang figura hip hop paling berpengaruh di Thailand, kehadiran F.Hero menyuntik karisma dan identiti tersendiri, sekali gus menyatukan gabungan unik antara pop Malaysia dan hip hop Thailand.

Mengulas mengenai kolaborasi berkenaan, DOLLA menyifatkan pengalaman bekerja dengan F.Hero sebagai sesuatu yang sangat menarik kerana gaya muziknya berani dan penuh karakter.

“Gaya muzik F.Hero selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi G.O.A.T. Kami juga merasakan dia benar-benar membawa semangat lagu ini.

“Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia (F.Hero) pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kata DOLLA dalam kenyataan media.

Bukan sekadar kolaborasi rentas negara, G.O.A.T mencerminkan sinergi kreatif yang semakin berkembang antara Malaysia dan Thailand, di samping membuka ruang memperkenalkan DOLLA kepada khalayak baharu di seluruh rantau ini.

Sesuai dengan konsep era baharu, dari segi visual pula menyaksikan G.O.A.T menampilkan transformasi paling berani yang pernah dibawakan DOLLA setakat ini.

Meninggalkan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini, kumpulan itu kini tampil dengan konsep yang lebih ‘edgy’, penuh karakter dan berani, selari dengan semangat lagu yang mengangkat keyakinan diri.

“G.O.A.T adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.

“Era ini benar-benar mencerminkan siapa kami sekarang, bukan sahaja sebagai individu, tetapi juga sebagai DOLLA. Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri.

“Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia melangkah lebih jauh,” tambah DOLLA lagi.

Lebih daripada sekadar sebuah single, G.O.A.T menjadi lambang keberanian DOLLA untuk terus berkembang, bereksperimen dan memperluaskan horizon muzik mereka.

Dengan sentuhan produksi bertaraf antarabangsa serta kolaborasi merentas sempadan, karya ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka selain mengukuhkan pengaruh DOLLA di pentas serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top