am@hmetro.com.my
SIRI 1
Siapa yang dapat menidakkan kehebatan vokal penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram, 61, pada zaman kegemilangannya dulu.
Meskipun bertubuh genit, nama Ramlah cukup dikenali dengan rangkaian lagu bernada tinggi, sekali gus terus bertahan dalam industri muzik tanah air selama empat dekad.
Anak seni kelahiran Kampung Kesang, Batu Tujuh, Muar, Johor ini juga dilahirkan dalam keluarga seni di mana bapanya bermain muzik bersama kumpulan ghazal, manakala bapa saudaranya pula anggota band Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Muar.
Selepas bergelar juara pertandingan Bintang RTM pada 1985, Ramlah tidak menoleh ke belakang lagi apabila dilamar komposer legenda, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab untuk menghasilkan album pertama berjudul Sabarlah Sayang pada 1986.
Namun, album Kau Kunci Cintaku (dalam hatimu) yang diterbitkan pada 1988 berjaya menaikkan nama Ramlah sebagai artis tempatan pertama meraih jualan album melebihi 300,000 unit.
Album itu turut memuatkan lagu hitnya iaitu Apa Khabarmu Di Sana dan Diam Diam Jatuh Cinta.
Antara lagu hit nyanyiannya ialah Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (1989), Duri Dalam Cinta (1990), Siapa Yang Bersalah (1991), Madah Dan Karenah (1992), Selamat Jalan Romeo (1994), Keangkuhanmu (1995), Zapin Yang Tinggal (1998), Kasih Tak Berpinggir (1999), Maharaja (2006), Dirgahayu, Ketentuan (2007/2008), Sesaat Kau Datang (kolaborasi bersama Sleeq) dan 5 Minit (duet dengan Caprice) (2012).
Di sebalik kejayaan dan nama besar dalam bidang seni tanah air, ramai yang tidak tahu, Ramlah sebenarnya mula menyanyi ketika zaman kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun.
Menurut Ramlah, dia minat menyanyi sejak kecil dan sering diminta menyanyi oleh saudara-mara yang datang ke rumah.
“Sebenarnya saya pun tak tahu ada bakat menyanyi atau tidak, tetapi bila saudara-mara datang ke rumah mesti mereka suruh saya menyanyi dan dapat upah duit.
“Saya suka menyanyi sejak kecil sebab abah pun dulu bermain alat muzik iaitu biola dan gitar dengan band di kampung bersama bapa saudara.
“Bila saya sudah bersekolah menengah, abah dan bapa saudara ada kumpulan ghazal dan saya juga ikut mereka menyanyi di majlis kenduri kahwin dan dapat bayaran sebanyak RM30 hingga RM40,” katanya.
Pada masa sama, kata Ramlah, bapa saudaranya yang disapa Pak Itam juga terbabit dengan band PDRM.
“Pak Itam yang bertugas sebagai kerani di Balai Polis Muar nampak bakat menyanyi saya dan dia juga yang bawa saya menyanyi dengan band polis ketika berusia 17 hingga 18 tahun.
“Jadi, bila ada permintaan untuk menyanyi bersama kumpulan ghazal, saya ikut abah dan bila ada undangan bersama band polis, saya ikut Pak Itam.
“Bila bersama band polis, saya menyanyi lagu pop seperti lagu dendangan Sanisah Huri, Uji Rashid dan Sharifah Aini,” kata bekas penuntut Sekolah Rendah Kebangsaan Kesang dan Sekolah Menengah Parit Bunga, Muar itu.
Emak baling piala nyanyian sebab marah
Pada peringkat awal, minat Ramlah dalam bidang nyanyian kurang mendapat galakan daripada ibunya.
Kata Ramlah, ibunya mahu dia memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu sebelum terbabit dalam bidang nyanyian.
“Emak macam tidak berapa setuju bila saya sering ikut abah dan bapa saudara menyanyi di majlis kenduri kahwin dan mereka selalu bergaduh juga mengenai perkara itu.
“Menurut emak, saya masih bersekolah dan dia bimbang jika menyanyi ganggu pelajaran saya ketika itu.
“Saya juga pernah sertai program bakat kanak-kanak di stesen radio RTM ketika usia 10 tahun dan dapat tawaran menjadi penyanyi berkumpulan, tapi emak tidak benarkan sebab masih bersekolah,” kata anak keempat daripada enam beradik ini.
Berkongsi kenangan yang sukar dilupakan, kata Ramlah, dia masih ingat bila dimarahi ibunya kerana menyertai pertandingan nyanyian ketika di tingkatan tiga tanpa keizinannya.
“Saya dan kakak iaitu Ramnah yang menuntut di tingkatan lima suka menyanyi dan kalau ada persembahan di sekolah, memang muka kami berdua yang selalu naik atas pentas.
“Nak dijadikan cerita, ketika saya dan kakak keluar berjalan di bandar Muar pada sebelah siang, kami nampak satu iklan pertandingan nyanyian yang dibahagikan dalam kategori dewasa dan penuntut sekolah.
“Jadi, saya pun cakap dengan kakak nak pergi uji bakat itu dan kami pun pilih lagu duet dan dapat masuk ke peringkat awal pertandingan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bila berjaya ke peringkat akhir pula, pertandingan itu dijadualkan berlangsung pada sebelah malamnya.
“Semua orang sokong kami bertanding pada peringkat akhir, tapi saya dan kakak pula fikir macam mana nak sertai acara itu kerana bas yang terakhir dari Melaka ke Muar setakat jam 7 malam sahaja.”Kalau tak masuk pertandingan akhir itu, rasa sayang (rugi) pula. Akhirnya, kami putuskan untuk menyertai peringkat akhir nyanyian itu walaupun tanpa persiapan termasuk baju yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, dia juga terpaksa menghubungi rumah ketua kampung untuk meminta mereka memberitahu bapanya mengenai perancangan memasuki pertandingan nyanyian peringkat akhir berkenaan.
Katanya, pada zaman itu, tiada telefon bimbit dan telefon rumah hanya ada di pejabat (rumah) penghulu di kampung.
“Kami hubungi rumah tok penghulu dan yang jawab telefon adalah pekerja di pejabatnya untuk sampaikan pesanan kepada abah di mana kami tidak balik ke rumah pada malam itu, tapi rupa-rupanya pekerja itu tidak sampaikan pesanan.
“Jadi, abah dan emak juga tidak tahu kami tidur di rumah sepupu di bandar. Emak pula tegas dan garang orangnya dan dia pantang kalau kami tidur di rumah orang walaupun rumah saudara-mara.
“Kalau nak keluar ke bandar pun kena balik rumah sebelum jam 7 malam,” katanya.
Menyangkakan pesanan sudah disampaikan pada ibu bapanya, kata Ramlah, dia dan kakaknya meneruskan hasrat mereka menyertai pertandingan akhir nyanyian pada sebelah malam dan diumumkan mendapat tempat kedua.
“Kami sampaikan lagu Benci Tapi Rindu dan Abang Beca secara duet pada pertandingan nyanyian peringkat akhir itu.
“Ramai yang cakap sepatutnya kami boleh menang tempat pertama, tapi kami pula disabotaj di mana ketika menyanyi, satu mikrofon rosak sedangkan peserta dari sekolah lain yang ada empat orang pun ada empat mikrofon.
“Tapi, kami tak kisah pun dapat tempat kedua dan tak sabar nak bawa balik piala dari Majlis Perbandaran Muar itu dan nak tunjuk pada emak bila balik ke rumah,” katanya.
Apa yang mengejutkan, katanya, bapanya memaklumkan tidak terima pesanan yang disampaikan dan ibu terus memarahinya bersama kakak bila mereka sampai ke rumah.
“Saya sangat teruja nak tunjuk piala yang kami menang itu pada emak, tapi malangnya, emak terus baling piala itu ke lantai sebab marah.
“Saya dan kakak pun kehilangan kata-kata sebab kami tahu emak marah sebab dia tidak terima pesanan yang diberikan. Mak cakap, ‘nak sangat pergi kan’ dan terus baling piala dan baju kami sekali.
“Saya tak sedih pun bila emak baling piala yang dimenangi itu, tapi lebih kepada takut bila dengar emak marah dan membebel kerana bimbang dengan keselamatan kami tidak pulang ke rumah pada malam pertandingan itu,” katanya.
Apa pun, kata Ramlah, dia percaya ibunya tetap tidak akan mengizinkan jika diberitahu mengenai pertandingan nyanyian itu kerana ia berlangsung pada sebelah malam.
“Kami juga fikir, bila tunjuk piala yang dimenangi itu emak akan rasa bangga dan hatinya yang panas akan sejuk, tapi sebaliknya pula yang berlaku.
“Tapi, saya dan kakak tahu setakat mana emak marah sebab salah kami juga. Abah pun hanya diam dan tidak pertahankan kami sebab dia tahu salah kami berdua tidak beritahu mengenai pertandingan itu,” katanya.
ESOK: Pernah kerja kilang elektrik lepas SPM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




