Kuala Lumpur: Meskipun baharu membuat penampilan kali pertama di saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita, UniKL Ladies sudah memberi amaran kepada pesaing lain bahawa kehadiran mereka bukan sekadar melengkapkan saingan musim ini.
Sebaliknya, skuad bimbingan bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Roslan Jamaluddin itu sudah membuktikan keinginan mereka untuk memenangi trofi apabila tanpa belas kasihan membelasah Mutiara Juniors PSHA 17-0 semalam.
Dengan kemenangan itu, UniKL Ladies yang dibarisi tujuh pemain kebangsaan melakar rekod selaku pasukan meraih kemenangan terbesar pada saingan liga sejak 2015.
Roslan berkata, objektif utama barisan pemainnya adalah untuk meraih sebanyak mungkin gol dan ia akan dilakukan terhadap mana-mana pasukan termasuk PDRM Blue Warriors yang bakal ditemui esok.
“Kami memang mahu mendapatkan sebanyak mungkin gol terutamanya pada perlawanan selepas ini bagi mengukuhkan saingan di kedudukan liga. Sesiapa sahaja yang menjaringkan gol, mereka melakukannya demi pasukan. Saya sentiasa tekankan jika ada peluang untuk jaringkan gol, maka mereka perlu ambil peluang itu,” katanya.
Roslan tidak menafikan mereka mempunyai dua peledak berkaliber yang juga tonggak kebangsaan, iaitu penjaring terbanyak Piala Razak, Nuraini Abdul Rashid serta penjaring terbanyak MHL musim lalu, Hanis Nadiah Onn.
“Nuraini dan Hanis bertindak cemerlang apabila sentiasa mengambil peluang untuk menjaringkan gol. Dalam masa sama saya juga mahu barisan pemain lain untuk menjaringkan gol,” katanya.
Pada pertemuan dengan Mutiara Juniors, Nuraini dan Hanis masing-masing meledak hatrik.




