Malam hebat Messi

Malam hebat Messi

Madrid: Lionel Messi meledak dua gol menarik pada malam sama dia menyamai rekod penampilan terbanyak milik Xavi Hernandez ketika membantu pasukannya menewaskan Huesca 4-1, pagi tadi.

Messi kini terikat dengan Xavi menerusi 767 perlawanan dalam semua kejohanan untuk Barca malah meraikannya dengan jaringan hebat menerusi rembatan lencung pada babak pertama dan rembatan rendah pada lewat permainan di Camp Nou.

“Dia pemain paling penting dalam sejarah Barca,” kata jurulatih, Ronald Koeman. “Malah yang bagusnya dia masih bersama kami.”

Prestasi Messi menyerlahkan semua elemen genius pemain berusia 33 tahun itu. Dia mempamerkan kelas tersendiri dengan gol yang dianggap paling menarik musim ini.

“Dia sangat cemerlang,” kata penyerang Huesca, Rafa Mir. “Mereka seperti beraksi dengan tambahan seorang lagi pemain.”

Huesca kekal di tangga tercorot, empat mata daripada zon selamat manakala Barcelona meneruskan momentum di kelompok teratas. Mereka kini menang 11, seri sekali daripada 12 perlawanan terakhir sekaligus hanya empat mata di belakang pendahulu, Atletico yang akan ditemui di tempat sendiri pada Mei.

Messi berpeluang mengatasi rekod Xavi ketika menentang Real Sociedad pada Isnin depan dan kelab bakal memuatnaik video menampilkan ucapan daripada beberapa pemain dan bekas rakan sepasukan seperti Gerard Pique, Sergio Busquets, Luis Suarez, Neymar, Andres Iniesta, Carlos Puyol dan Xavi sendiri.

“Anda masih terus memecahkan rekod,” kata Suarez. “Saya fikir banyak diperkatakan mengenai anda sebagai pemain dan apa yang anda wakili untuk Barcelona.”

“Anda memang luar biasa, sesuatu daripada planet lain,” kata Neymar.

Scroll to Top