Kereta terbabas langgar pili, ganggu bekalan air hampir 5 jam

Kereta terbabas langgar pili, ganggu bekalan air hampir 5 jam

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebuah kereta terbabas sebelum merempuh pili air hingga pecah, menyebabkan pancutan air setinggi kira-kira empat meter di Jalan Ros Merah Utama, Taman Johor Jaya, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku jam 6 pagi membabitkan sebuah Perodua Aruz yang dipandu lelaki berusia 27 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati kenderaan itu sedang bergerak dari arah Taman Molek menghala ke Taman Johor Jaya sebelum tayar hadapan kiri dipercayai rosak dan pancit secara tiba-tiba.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan melanggar pili air yang berada di atas pembahagi jalan.

“Akibat pelanggaran itu, pili air berkenaan pecah dan menyebabkan air memancut deras, manakala kenderaan terbabit terbalik mengiring ke sebelah kanan. Namun pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Libtae Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Tinjauan di lokasi mendapati berlaku pembaziran air susulan kejadian itu, malah beberapa pemilik kenderaan mengambil kesempatan mencuci kenderaan mereka menggunakan pancutan air berkenaan.

Dalam perkembangan sama, kejadian itu turut menyebabkan gangguan bekalan air selama hampir lima jam kepada ratusan penduduk di Taman Johor Jaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top