WASHINGTON: Ibu seorang kanak-kanak kulit hitam berusia setahun yang cedera serius selepas ditembak polis Texas di kepala semalam mahu mengambil tindakan undang-undang.
Daisha Smalls, 19, berkata serpihan peluru masih terbenam pada bahagian otak anaknya, Legend Smalls, yang terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala selepas ditembak pada 3 Mac lalu di Houston.
“Anak saya tidak wajar diperlakukan seperti ini, dia tidak sepatutnya ditembak, lebih-lebih lagi oleh anggota polis,” katanya pada satu sidang media.
Smalls berada di stesen minyak bersama anaknya yang diikat pada kerusi kanak-kanak di ruang duduk belakang keretanya apabila seorang lelaki bersenjata dikejar polis cuba menariknya keluar dari kereta.
Peguam Smalls, Ben Crump, berkata seorang anggota polis melepaskan tembakan yang membunuh suspek dan mencederakan kanak-kanak terbabit.
“Mereka (polis) tahu Smalls dan anaknya berada dalam kereta tetapi masih terus menembak
“Kini di Amerika Syarikat (AS), apabila membabitkan penduduk berketurunan Afrika, polis tembak dulu dan tanya soalan kemudian tetapi tidak pula memperlakukan penduduk AS lain seperti ini,” katanya.
Seorang lagi peguam Smalls, Antonio Romanucci, berkata anak guamnya berhasrat memfailkan saman.
“Kami sedang mengumpul lebih banyak fakta dan bila kami mendapat bukti secukupnya, tindakan mahkamah akan diambil.
“Anda (polis) tidak boleh menembak melainkan sudah pasti mengenai sasaran anda, ini bukan rancangan televisyen atau wayang,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




