
Azizulhasni memaparkan mesej Save Gaza selepas memenangi satu perlumbaan pada kejohanan besar di Eropah pada 2014. – Foto FB Azizulhasni Awang
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan hampir ‘ditendang’ keluar dari perkampungan sukan dan penyertaannya dalam satu kejohanan besar di Eropah hampir dibatalkan gara-gara memaparkan mesej Save Gaza pada glove yang dipakainya pada Julai 2014.
Beliau berkata, ketika itu dia berlumba dengan pelumba dari England dan sejurus memenangi perlumbaan tersebut, dia mengangkat kedua-dua belah tangan untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia.
“Ketika sepanjang kejohanan itu, Gaza teruk bertalu-talu di bom oleh tentera laknatullah. Ramai yang menjadi mangsa dan terkorban termasuk wanita, anak-anak kecil dan bayi. Memburukkan lagi keadaan ketika itu adalah di bulan Ramadan. Bulan suci umat Islam.
“Alasan yang diberikan untuk membatalkan penyertaan adalah kerana saya menyampaikan mesej politik di pentas sukan. Niat saya ketika itu hanyalah untuk menyampaikan mesej kemanusiaan bagi seluruh dunia tahu keadaan di Gaza,” tulis Azizulhasni menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.



