Kuala Lumpur: Hasrat ibu untuk menyambung pengajian di luar negara yang tidak berjaya dicapai suatu ketika dahulu, menyebabkan seorang anak, berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan harapan itu.
Muhammad Azran Iman Muhammad Said, 18, dari Bandar Melaka, Melaka, berkata sejak dahulu ibunya, Aidah A Rahman, 55, sering memberitahu, bahawa dia sepatutnya menyambung pengajian di luar negara kerana mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, namun ibunya yang juga suri rumah, tidak berpeluang mencapai impian berkenaan kerana kekangan kewangan ketika itu.
“Sebelum ini ibu mahu melihat anak-anaknya menyambung pengajian di universiti dan kini, saya dan dua kakak sudah berjaya merealisasikan.
“Saya kini menyambung pengajian A Level di Universiti Taylor dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan selepas dua tahun akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti di United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat,” katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Shah, Ayer Keroh itu berkata, selain memberi tumpuan dalam akademik, dia juga aktif dalam pelbagai kokurikulum di sekolah dan pernah mewakili sehingga ke peringkat kebangsaan bagi orkestra serta menyertai sukan memanah dan dilantik sebagai Naib Ketua Pelajar.
“Walaupun aktif dalam pelbagai aktiviti saya tidak mengabaikan pelajaran dan berjaya memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya sedar dilahirkan dalam keluarga sederhana dan hanya pelajaran yang mampu mengubah nasib keluarga kami,” kata anak pesara tentera itu.
Muhammad Azran Iman berkata, dia memilih PETRONAS sebagai tajaan untuk melanjutkan pengajian kerana yakin syarikat tenaga global dinamik itu mampu merealisasikan hasratnya menjadi Jurutera Mekanikal.
Muhammad Azran Iman berkata, dia mengetahui mengenai tajaan pendidikan oleh PETRONAS itu daripada guru kaunseling di sekolah yang memberitahu kepadanya dan rakan lain.
Katanya, dia kemudian membuat carian yang lebih lanjut mengenai setiap penajaan pendidikan untuk lepasan SPM yang dimaklumkan oleh gurunya itu.
“Saya dapati tajaan pendidikan daripada PETRONAS adalah paling sesuai, lalu terus membuat permohonan dan tidak sangka permohonan diterima.
“Saya bersyukur apabila menjadi salah seorang penerima Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2023.
“Dengan tajaan PETRONAS ini saya yakin mampu mendapat ilmu dan kemahiran sewajarnya dalam usaha mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya.
Bagi Nur Farah Najwa Mohamad Azizi, 18, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, motivasi tinggi dalam diri menjadi perangsang untuk berjaya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, apabila berjaya meletakkan hala tuju dan impian, maka akan lebih mudah untuk merealisasikannya.
Muhammad Azran Iman Muhamad Said, Nur Farah Najwa Mohamad Azizi. – FOTO PETRONAS
Bijak uruskan masa
Katanya, ketika di sekolah rendah, dia seorang yang tidak pandai mengatur masa dan sering menangguh untuk membuat sesuatu perkara. Namun, apabila menginjak ke sekolah menengah dia menyedari, pengurusan masa amat penting jika mahu berjaya dalam hidup.
“Alhamdulillah saya mampu mengubah sikap itu dan hidup lebih teratur selepas itu, malah sehingga kini,” katanya.
Bekas pelajar SM Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban itu juga aktif dalam Kelab Catur, malah pernah mewakili sekolah di peringkat kebangsaan dan menyertai pidato serta Kadet Remaja Sekolah (KRS).
“Zaman sekarang, sudah ramai pelajar yang sememangnya bijak dalam pelajaran tidak kira di mana-mana sekolah sekali pun,” katanya bercita-cita menjadi pensyarah kejuruteraan.
Nur Farah Najwa berkata, dia mengetahui mengenai tajaan pendidikan itu daripada pihak sekolah yang memaklumkan ramai alumni dari sekolah itu mendapat tajaan sama.
Katanya, selepas mendapat galakkan guru dan alumni, dia kemudian membuat permohonan.
Nur Farah Najwa turut mengakui, pada peperiksaan percubaan SPM yang lalu, dia mendapat keputusan tidak memuaskan.
Namun, tidak berasakan itu kegagalan selamanya, sebaliknya dia bangkit semula dan melihat kembali kesilapan hingga berjaya mendapat keputusan cemerlang.
“Saya bersyukur diberi peluang dan masa untuk belajar daripada kesilapan dan mengubahnya hingga mampu mendapat 9A dalam SPM,” katanya. Katanya, berbekalkan keputusan berkenaan, dia kini berjaya menyambung pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
“Saya berharap selepas ini selain membalas jasa ibu, saya juga mahu membalas jasa PETRONAS yang memberi tajaan pelajaran dengan berusaha mengharumkan nama syarikat ini,” katanya.
Muhammad Azran Iman dan Nur Farah Najwa adalah antara 600 pelajar cemerlang SPM 2022 yang menerima penajaan pendidikan di bawah program PETRONAS Memperkasakan ilmu yang membabitkan nilai tajaan lebih RM340 juta.
Sejak 1975, PETRONAS menaja lebih daripada 38,000 bakat muda Malaysia daripada pelbagai latar belakang membantu mereka mencapai matlamat dan membentuk hala tuju syarikat, industri tenaga dan negara secara keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




