PETALING JAYA: Penceramah bebas, Dr. Zakir Naik akan menyumbangkan RM1.52 juta wang hasil kes saman fitnah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy yang dimenanginya kepada Palestin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan rasa berterima kasih kepada Mahkamah Tinggi kerana memerintahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta kepadanya atas dakwaan fitnah.
“Saya ingin menderma jumlah penuh, iaitu RM1.52 juta kepada Palestin. Saya berdoa agar Allah SWT menerima usaha kecil ini,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi demikian selepas mendapati Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.
Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000 dalam masa 30 hari.
Dalam hantaran sama, Zakir berkata, rakyat Palestin ketika ini sedang melaksanakan ibadah fardu kifayah kepada seluruh umat Islam untuk melindungi kota suci ketiga umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa.
“Saya berdoa agar Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kemenangan kepada perjuangan Palestin.
“Semoga Allah SWT meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, menguatkan mereka dalam melawan pihak yang menindas dan menaikkan darjat syuhada ke tempat tertinggi di syurga-Nya. Amin,” katanya. – UTUSAN




