
Shahrul mengharapkan Pan-gon dapat memberikan peluang untuknya beraksi.
SKUAD Harimau Malaya akan menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk menundukkan Kyrgyzstan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.
Pemain pertahanan negara, Shahrul Saad berkata, pasukan negara akan turun dengan persembahan terbaik selain percaya mempunyai keupayaan untuk menundukkan pasukan di ranking ke-97 dunia itu.
“Kita bermain di tempat sendiri dan saya rasa kita boleh menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan kemenangan.
“Sejak hari pertama (di kem latihan pusat), kita dah tengok game pasukan Kyrgyzstan. Kita dah tahu pemain yang mereka ada dan saya harap kita mampu lakukan sesuatu dalam perlawanan akan datang ini,” katanya ketika latihan skuad negara.



