KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim terkejut apabila isu pempengaruh mendakwa kemenangannya dinafikan semasa Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dibawa dalam Dewan Rakyat.
Katanya, isu tersebut bukan bersifatkan kepentingan awam sehingga perlu untuk dibahaskan buat masa kini.
“Malah untuk pengetahuan, hari ini, di bangunan Parlimen ini, kalau saya nak jemput Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) pun boleh.
“Yang dimaksudkan itu (Zhiddin Aziz) pun akan datang ke sini (adakan) pertemuan dengan saya. Jadi, tidak ada masalah.
“Kalau mana-mana (Ahli Parlimen), Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) sekalipun yang telah membangkitkan perkara ini semalam (Selasa) itu pun nak datang jumpa, boleh jumpa. Nak selfie, nak buat video pun boleh, tidak ada masalah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) dalam soalan tambahannya meminta kementerian menjelaskan isu di APBN Peringkat Kebangsaan 2023 boleh berlaku dan bagaimana langkah kerajaan untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang lagi pada masa hadapan
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok dan Instagram berkenaan luahan, Zhiddin yang kecewa dengan pembatalan kemenangannya pada acara APBN 2023.
Zhiddin mendakwa telah menerima panggilan berhubung perkara berkenaan kurang 24 jam sebelum majlis berlangsung pada 11 November lalu dan tiada sebarang penjelasan diberi mengenainya.
Adam Adli turut meminta agar isu tersebut tidak dijadikan isu sensasi, sebaliknya ia boleh dirungkai menerusi pertemuan yang lebih matang.
Jelas beliau, pihaknya telah pun mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab isu berkenaan.
“Saya harap mana-mana pihak yang menganggap ini sebagai satu bentuk penganiayaan dan sebagainya, itu bukan perkara yang menjadi tujuan dan matlamat APBN kali ini,” ulasnya. – UTUSAN
