
Asap berkepul-kepul susulan pengeboman tentera Israel di utara Semenanjung Gaza pada Rabu, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. – Foto AFP
SERANGAN tentera Israel ke atas orang awam yang mencari perlindungan di hospital dan sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-40 pada Rabu.
Tetapi badan induk bola sepak Eropah mahupun dunia iaitu UEFA dan FIFA masing-masing belum mengeluarkan kenyataan mengutuk atau mengenakan hukuman ke atas Tel Aviv.
Sikap pilih kasih UEFA dan FIFA itu amat ketara dalam kes Israel kerana apabila Rusia memulakan perang terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022, dua badan bola sepak utama itu mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama mengutuk peperangan dan mengenakan sekatan terhadap Moscow pada hari keempat.
Sebagai akibatnya, kelab-kelab Rusia dan pasukan kebangsaannya digantung daripada menyertai semua pertandingan bola sepak.