am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penjelasan Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff berhubung rakaman video berunusur lucah membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu dan seorang lelaki malam tadi, disifatkan sangat mengelirukan.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, isu berkenaan semakin rumit, selain mempersoal sama ada rakaman itu antara lain mengesahkan wujud masalah antara Muhammad Agus dan beberapa individu di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, beliau yang mesra disapa Che’gu Bard turut menasihatkan Muhammad Agus supaya berhenti ‘melondehkan’ lebih banyak maklumat berhubung rakaman berdurasi lebih tiga minit yang di muat naik di laman sosialnya, kelmarin.
Che’gu Bard turut mencabar Abdul Wahab mendedahkan identiti Mr H, selain menegaskan akan mengemukakan saman, jika mendakwa beliau adalah individu bertanggungjawab menyebarkan rakaman video terbabit.
“Muhammad Agus bukan sahaja menampilkan Wahab, malah mengesahkan video berkenaan benar. Wahab mengaku rakam, cuma tanpa audio. Rakaman video call (panggilan video) tanpa audio, lucu juga alasannya. Wahab mengaku dia diupah Mr H, yang juga kakitangan J-KOM.
“Wahab mengaku video ini benar tetapi mengatakan ia sudah dikerat (dipotong). Video asal yang panjang kita harap Wahab berani keluarkan.
“Siapa pula Mr H, adakah dia orang di bawah pengaruh PMO ingin singkir Muhammad Agus? Siapa Mr H? Jika wujud dan benar Mr H lakukan jenayah? Berapa dia (Mr H) upah Wahab (Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33) untuk rakam dan berapa pula Muhammad Agus upah Wahab untukmengaku?
“Muhammad Agus nampaknya menggunakan teori tiga strategi Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), apabila kantoi, iaitu jangan mengaku, diikuti tuduh orang lain dan kelirukan masyarakat,” katanya, malam tadi.
Beliau mengulas sidang media Muhammad Agus dan Abdul Wahab yang juga penolong pegawai J-KOM merangkap Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Langat, susulan panggilan video berunsur lucah didakwa mengaitkan mereka yang tular di media sosial.
Rakaman itu didakwa palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab, dikatakan bertujuan menjatuhkan reputasi Mohammad Agus.
Abdul Wahab dipetik mengakui merakamnya, namun isi perbualan bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial, selain mendakwa rakaman video berunsur lucah terbabit adalah konspirasi Mr H yang identitinya tidak didedahkan.
Sementara itu, Che’gu Bard mengakui memuat naik rakaman terbabit di platform media sosialnya selepas mendakwa klip video berkenaan sudah pun tersebar, bertujuan mendapatkan maklum balas berhubung ketulenannya.
“Video memang sudah tular sejak petang semalam. Saya muat naik di media sosial sebagai pertanyaan untuk mendapat respons sama ada ia benar atau tidak kerana ramai bertanya siapa ‘Wahab’ dan disertakan pertanyaan ‘jika benar, berapa ramai lagi yang berkecelaruan seksual mendapat lantikan politik?'” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




