sukan@hmetro.com.my
Melaka: Pemain badminton beregu negara, Aaron Chia dan atlet wushu, Sydney Chin Sy Xuan dianugerah sebagai Olahragawan dan Olahragawati Negeri Melaka 2021/2022 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali ke-38 di Ayer Keroh, hari ini.
Aaron Chia mengetepikan calon lain termasuk Tan Zhi Yan (wushu), Jonathan Wong Guanjie (menembak) dan Juwaidi Mazuki (memanah) serta atlet muay thai, Wan Muhammad Sabri Wan Mohd Zuki.
Masing -masing menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan, trofi iringan dan sijil penghargaan oleh wakil mereka yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Aaron turut menerima insentif sebanyak RM23,000 daripada Kerajaan Negeri selepas kejayaannya mengharumkan nama negara dan Melaka di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark dan temasya Sukan Asia 2023, di Hangzhou, China.
Turut menerima insentif sama iaitu atlet wushu, Tan Cheong Min yang memenangi pingat perak dalam temasya Sukan Asia 2024 sebanyak RM25,000 disusuli atlet memanah, Juwaidi menerima RM15,000 selepas merangkul pingat gangsa di kejohanan yang sama.
Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali ke-38 turut menobatkan dua ketegori lain iaitu Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan Negeri Melaka yang diraih atlet berbasikal, Muhammad Hafiq Mohd Jafri,18, dan atlet angkat berat Nurul Syasya Khairina Syamsur,14.
Sebanyak sembilan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka yang disenaraikan (MSN) bagi menghargai pencapaian penggiat sukan termasuk pasukan terbaik yang dirangkul pasukan Hoki Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



