Dua tahun berturut-turut! Sultan Selangor zahir ucapan tahniah, Tabung Haji raih Labaytum Diamond Award

Dua tahun berturut-turut! Sultan Selangor zahir ucapan tahniah, Tabung Haji raih Labaytum Diamond Award

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita terhadap pengiktirafan Labaytum Diamond Award yang diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) buat kali kelima dan dua tahun berturut-turut.

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, baginda bertitah pengiktirafan itu membuktikan kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi warga TH dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia di Mekah dan Madinah.

“Ia bukti jelas kepada kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi Haji Malaysia di Mekah dan Madinah,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa mutu perkhidmatan, kebajikan serta pengurusan yang disediakan TH adalah amat baik, tersusun dan sentiasa mengutamakan keselesaan serta keselamatan para jemaah.

Sultan Sharafuddin turut berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali melalui bimbingan TH, selain yakin prestasi institusi itu mampu memperkukuh reputasi Malaysia sebagai peneraju pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip syariah.

Artikel lain: Haji tanpa visa berdosa, tak mahu imej Malaysia tercalar – Zulkifli

Dalam pada itu, baginda mengimbas sejarah penubuhan TH oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1959 yang memperkenalkan model simpanan patuh syariah bagi membolehkan umat Islam menunaikan haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang disifatkan sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.

“Sikap dan kepatuhan itu sering menjadi contoh serta mendapat pujian pihak berkuasa Arab Saudi dan jemaah antarabangsa,” titah baginda.

Sebelum ini, TH dilaporkan mengungguli Anugerah Labbaitom Diamond buat kali kelima berturut-turut yang disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Lebih 31,000 jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026, dengan operasi turut diperkukuh menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Sumber: FB Selangor Royal Office

Scroll to Top