Polis buru suspek curi kabel TM bernilai RM17,000

Polis buru suspek curi kabel TM bernilai RM17,000

GEORGE TOWN : Polis kini sedang giat memburu seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan perbuatan mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) bernilai kira-kira RM17,000 di Jalan Batu Uban 1, Gelugor di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, laporan mengenai kehilangan kabel telekomunikasi itu diterima daripada seorang juruteknik TM kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

Menurut beliau, pengadu yang berusia 41 tahun sebelum itu memaklumkan telah melihat satu video tular berdurasi satu minit 24 saat di media sosial berkaitan kejadian berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.

“Selepas melihat video tersebut, pengadu kemudian memeriksa lokasi kejadian dan mendapati kabel telekomunikasi sepanjang kira-kira 70 meter telah dipotong dan dicuri,” katanya di sini, hari ini.

Swee Sake berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan jenis Mazda 6 Hatchback berwarna gelap ketika melakukan kegiatan jenayah itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujar beliau.

Sementara itu, Swee Sake berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-228 2222 atau 04-218 1881.

“Dalam hal ini, polis amat menghargai kerjasama daripada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencuri kabel di kawasan masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top