Kemalangan bukan disebabkan kualiti jalan – KKR

Kemalangan bukan disebabkan kualiti jalan – KKR

am@hmetro.com.my

Klang: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan dakwaan kononnya kualiti turapan yang rendah menjadi punca seorang penunggang motosikal maut di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3 di sini, 18 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebaliknya kualiti bagi kerja-kerja pembaikan dan penurapan permukaan jalan di seluruh negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

“Setahu saya, kerja turapan mengikut SOP sedia ada. Sekurang-kurangnya kita ada sistem yang sepatutnya di KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kemalangan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang kerani maut digilis treler selepas terjatuh sebaik motosikal ditunggangnya terlanggar lubang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, dekat sini.

Menurut Nanta Linggi lagi, rakyat diminta membuat laporan menggunakan aplikasi MyJalan sekiranya mengetahui lokasi jalan yang rosak supaya tindakan lanjut diambil dengan kadar segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top