am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Lelaki yang hilang ketika mencari petai di kebun di Bukit Kampung Gemuruh di sini, sejak Ahad lalu ditemui meninggal dunia pada Rabu.
Mohd Tarmizi Alias, 44, ditemui terlentang tidak sedarkan diri di bawah pokok duku, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia meletakkan motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam.
“Turut ditemui di sisinya beberapa tangkai petai. Kematiannya diklasifikasikan mati mengejut,” katanya yang memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini, untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Terengganu, Baharum Mohamad Hashim berkata, mangsa ditemui penduduk kampung yang kemudian memaklumkan kepada pasukan SAR.
Katanya, usaha membawa keluar mangsa menghadapi kesukaran susulan lokasi penemuan di kawasan berbukit.
“Kita mengambil masa lebih 40 minit untuk menurunkan mangsa dari bukit berketinggian 400 meter dari aras laut,” katanya yang memaklumkan pasukan berjaya tiba di kaki bukit pada 6.15 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, adik mangsa, Noor Suriati, 35, bersyukur abangnya ditemui meskipun dalam keadaan tidak bernyawa.
Katanya, sepanjang kehilangan itu, mereka sekeluarga tidak tenang memikirkan keadaan dan nasib Mohd Tarmizi terutama ibunya, Aminah Awang, 61.
“Walaupun sedih, kami tetap reda,” katanya yang turut memaklumkan arwah abangnya mengambil upah memanjat pokok petai dan mengutip durian di kebun sekitar kawasan itu.
Dalam kejadian Ahad lalu, Mohd Tarmizi, 44, dilaporkan keluar bersendirian ke kebun buah-buahan di Bukit Kampung Gemuruh.
Dia dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Petaling, Tepoh pada 10.30 pagi dengan menunggang motosikal tanpa membawa telefon bimbit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




