Kecederaan sekat aksi Richardson di Glasgow

Kecederaan sekat aksi Richardson di Glasgow

London: Pelumba berbasikal trek Britain, Matthew Richardson terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 akibat kecederaan sekali gus menafikan peluang peminat menyaksikan pertembungan menarik dengan bekas rakan sepasukannya dari Australia.

Richardson yang dilahirkan di England tetapi sebelum ini mewakili Australia, menukar kerakyatan sukan kepada Britain sejurus memenangi dua pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Pertembungannya dengan pelumba Australia, Leigh Hoffman, di Velodrom Sir Chris Hoy dianggap antara aksi paling dinantikan pada temasya kali ini.

Pengurusan pasukan itu dalam satu kenyataan memaklumkan Richardson mengalami kecederaan ketika menyertai perlumbaan antarabangsa awal minggu ini.

“Malangnya, akibat kecederaan yang dialami ketika perlumbaan antarabangsa awal minggu ini, Matt Richardson tidak dapat mewakili Team England pada Sukan Komanwel Glasgow 2026,” menurut kenyataan itu.

Richardson dan Hoffman sebelum ini bergandingan dalam skuad pecut berpasukan Australia yang meraih pingat gangsa di Olimpik Paris dan dijangka bertemu sebagai pencabar dalam acara pecut individu serta keirin di Glasgow.

Menjelang temasya itu, Hoffman mengakui pertemuan dengan bekas rakan sepasukannya akan menyemarakkan lagi saingan.

“Rakyat Australia mahu saya menewaskannya, manakala penyokong Britain mahu dia menewaskan saya. Itulah hakikatnya. Melihat dia memakai jersi Great Britain pasti membakar lagi semangat saya,” katanya.

Richardson berpindah ke Perth ketika kecil dan dibentuk menerusi Program Akademi Berbasikal Berpotensi Podium Australia sebelum mengambil keputusan mewakili Britain, langkah yang tidak disenangi beberapa bekas rakan sepasukannya.

Malah, dia pernah menyifatkan program berbasikal Australia ‘seperti sekolah menengah’, manakala sistem di Britain diibaratkan ‘Hogwarts’.

Richardson mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan keirin Siri Dunia di Jepun.

Program berbasikal trek di Sukan Komanwel Glasgow dijadual bermula hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top