Pemandu diserang sawan, kereta dinaiki Taslimah kemalangan ketika berkempen

Pemandu diserang sawan, kereta dinaiki Taslimah kemalangan ketika berkempen

am@hmetro.com.my

Chukai: Ketua Wanita Umno Padang Rengas, Perak cedera selepas kereta Proton Exora yang dinaikinya terbabit kemalangan di Teluk Kalong Kemaman, hari ini.

Kemalangan pada 10 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu berusia 40-an diserang sawan dengan secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, Taslimah Jalaludin bersama pemandu serta dua lagi wanita yang berada di dalam kenderaan hanya cedera ringan.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menemui pengundi di kawasan Teluk Kalong dengan dua kereta.

“Saya bersama empat yang lain menaiki sebuah kereta manakala empat lagi rakan menaiki sebuah kereta lain.

“Kami baru selesai menemui pengundi di dua rumah dan dalam perjalanan ke rumah pengundi ketiga itu kami mendapat kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam perjalanan itu, pemandunya diserang sawan menyebabkan kereta dinaiki melanggar sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan sebelum melanggar pokok.

“Saya hanya cedera di kaki. Syukur pada Allah kami semua terselamat dalam kejadian itu dan hanya cedera ringan,” katanya yang tiba di Kemaman sejak Ahad bagi membantu jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berkempen.

Katanya, beliau dan kesemua yang terbabit dibawa ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top