KUALA LUMPUR – Walaupun ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad menjadi mangsa pendakwaan politik, namun beliau tetap yakin keadilan akan ditegakkan.
Berlandaskan prinsip ‘berani kerana benar’, Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut itu komited dan akan terus berjuang habis-habisan agar keadilan ditegakkan menerusi sistem badan kehakiman yang bersih dan telus.
“Saya ingin tegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya adalah pendakwaan bermotifkan politik dan saya yakin ianya akan terbukti sebagai tidak berasas. Saya harus berjuang bagi memastikan reputasi diri saya kembali bersih dan bebas dari semua pertuduhan yang dikenakan.
“Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan dan pembinaan, saya tahu selok-belok operasi syarikat dan yakin segala tindakan dan keputusan perniagaan yang dibuat sebelum ini tidak menyalahi mana-mana undang-undang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd itu didakwa atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 November lalu.
Adam Radlan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.
Mengulas lanjut, Adam Radlan berkata, dengan kesungguhan dan keyakinan serta berserah sepenuh kepadaNya, beliau percaya keadilan akan berpihak kepadanya walaupun sedar ia mungkin akan memakan masa bertahun lamanya.
“Saya dengan rendah hati meminta sokongan dan doa dari semua untuk tempoh yang mencabar ini.
“Kepada mereka yang telah berdiri di sisi saya dan mempertahankan prinsip-prinsip sistem keadilan, saya bersyukur seadanya,
“Terima kasih atas kepercayaan dan kesabaran anda yang tidak pernah berubah,” jelas beliau.
Mengikut semua pertuduhan, Adam Radlan didakwa memindahkan wang itu dari akaun CIMB Bank Berhad milik Syarikat Bayu Bumiraya ke akaun miliknya dan tiga individu lain antaranya Nabilah Mahiaddin dan Ameer Azlan Mohd Ayob.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Jaya One, di sini antara 1 Disember 2021 hingga 27 Disember 2022. – MalaysiaGazette

