
Erry Hidayat, Joe Ee bersama trofi masing-masing dinobatkan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan malam ini.
JAGUH angkat berat Muhammad Erry Hidayat dan gimnas Ng Joe Ee masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022, malam ini.
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM8,000 serta tajaan barangan sukan bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Muhammad Erry, yang baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-24 pada 24 Nov lepas, mengetepikan saingan sengit iaitu atlet renang Steve Khiew dan jaguh karate S. Prem Kumar.
Badang negara itu, yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat Hidayat Hamidun, melakar kejayaan cemerlang apabila antaranya merangkul pingat perak Kejohanan Angkat Berat Asia 2021 dan pingat perak Sukan Komanwel 2022 Birmingham.



