PEMAIN perseorangan Denmark, Anders Antonsen memilih untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persediaan selepas layak ke Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, bermula 13 hingga 17 Disember ini.
Malah, pemain berusia 26 tahun yang menduduki ranking ke-11 dunia itu, terpaksa mengubah rancangan asalnya untuk berlepas ke Melbourne, Australia, sejurus tamat Masters China 2023 di Shenzen minggu lepas, bagi membuat persediaan memulakan musim baharu 2024.
Dengan perjalanan yang panjang, pemain kelahiran Aarhus itu juga tidak bercadang untuk kembali ke Denmark sekali gus menghindari musim sejuk ketika ini dengan suhu semasa mencecah -6 darjah Celsius di Copenhagen dan menikmati cuaca panas di sini.
“Betul, 100 peratus saya mahu mengelak musim sejuk di Denmark kerana keadaannya sangat mencabar, sejuk, kelabu (gelap) dan berangin. Lagipun, saya pernah berlatih beberapa kali di sini (ABM) untuk kejohanan dan kemudahan yang ada memang baik.



