Perancangan pertanian pentadbiran Tun M, Najib tidak guna data tepat -Rafizi

Perancangan pertanian pentadbiran Tun M, Najib tidak guna data tepat -Rafizi

PETALING JAYA: Perancangan industri pertanian semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak menggunakan data yang paling terkini dan tepat. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, semua maklum salah satu punca Malaysia terdedah kepada risiko kenaikan harga makanan mendadak berikutan industri pertanian berkaitan makanan bukanlah aktiviti besar dalam ekonomi negara. 

Oleh itu, katanya, usaha memodenkan industri pertanian ke arah kestabilan penawaran dan permintaan serta keterjaminan makanan pula bergantung kepada guna tanah bagi tujuan pertanian, serta kemampuan negara menggerakkan lebih banyak guna tenaga ke dalam sektor pertanian. 

Namun, katanya, semua itu tidak dapat berlaku hanya melalui slogan atau arahan dasar, tetapi ia memerlukan data yang lengkap dari seluruh negara. 

“Bagi tujuan ini, agensi Kementerian Ekonomi iaitu Jabatan Perangkaan akan memulakan Banci Pertanian 2024 iaitu usaha pengumpulan data menyeluruh mengenai industri pertanian di seluruh negara. 

“Banci Pertanian dijalankan oleh pentadbiran terdahulu sebanyak tiga kali sahaja sebelum ini iaitu sewaktu pentadbiran Tunku Abdul Rahman (1960), Tun Hussein Onn (1977) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (2005). 

“Ia langsung tidak dijalankan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi gambaran bagaimana dalam dekad-dekad terdahulu, tumpuan perancangan pertanian tidak menggunakan data yang paling terkini dan tepat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Mengulas lanjut, Rafizi mengakui beliau teruja dengan dengan dapatan Banci Pertanian 2024 nanti yang dapat membantu perancangan pertanian moden negara untuk 10 tahun akan datang.

“Saya tahu ada yang terus melalak mana hasil, Insya-Allah perancangan yang baik, dari data yang lengkap, disusuli dengan pelaksanaan berfokus akan merungkai masalah keterjaminan makanan dan kestabilan penawaran dan permintaan makanan dari satu tahun ke satu tahun,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top