Kerajaan amal gaya politik rimba -Tuan Ibrahim

Kerajaan amal gaya politik rimba -Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: Pas menyifatkan Kerajaan Persekutuan hari ini meneruskan gaya politik rimba selepas mendakwa pemimpin pembangkang perlu menyokong kerajaan sekiranya mahu mendapat peruntukan. 

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan di mana reformasinya apabila berunding, namun tetap sama. 

“Siapa nak peruntukan? Sokong Kerajaan! Sokong Kerajaan, kita bagi peruntukan. Inilah gaya politik rimba yang diteruskan oleh kerajaan hari ini. Dimana reformasinya? Telah berunding, namun tetap sama. 

Sewaktu saya menjadi wakil rakyat sekitar 1999 dulu, langsung tiada satu sen peruntukan untuk rakyat kepada ahli parlimen pembangkang.

“Pembangkang bersama-sama rakyat pada ketika itu bangkit mendesak supaya diubah sistem-sistem rimba dengan agenda reformasi. Kecewanya pada hari ini, reformasi itu telah terkubur,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor menegaskan, beliau tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana ahli Parlimen supaya mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan jika mahu mendapatkan peruntukan. 

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, beliau hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tetapi setakat ini belum ada perundingan rasmi dilakukan. 

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, berbeza dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN), peruntukan diagih tidak mengira blok kerajaan mahupun pembangkang tanpa perlu berunding. 

“Begitu juga yang kita amalkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh lalu diperingkat Pusat.

“Ia kerana kepentingan rakyat. Kita mengiktiraf sistem dalam negara,” katanya. -UTUSAN

Scroll to Top