Ipoh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kurau Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria membuat laporan polis hari ini berhubung dua hantaran di Facebook yang berunsur fitnah dengan mengaitkannya dalam aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan pencemaran sumber air.
Laporan itu dibuat kira-kira 9 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai wakil rakyat kawasan itu sebagai bertanggungjawab meluluskan aktiviti pembalakan selain mengambil untung melalui kelulusan terbabit.
Muhammad Amin berkata, semakan yang dibuat pihaknya dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut Matang dan Selama (LMS) serta Pejabat Perhutanan Daerah LMS mendapati pembalakan berlaku di luar dari kawasannya namun ia berlesen.
“Hantaran terbabit merupakan fitnah ke atas saya sebagai Adun Batu Kurau yang dituduh meluluskan aktiviti pembalakan di kawasan saya, di mana ia adalah bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman rakyat kawasan Batu Kurau selain menjatuhkan reputasi saya.
“Tujuan laporan polis dibuat adalah bagi meminta siasatan dilakukan pihak polis serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) selain mengambil tindakan sewajar terhadap kedua-dua pemilik akaun Facebook terbabit,” katanya ketika sidang media sejurus membuat laporan itu.
Muhammad Amin berkata, satu daripada hantaran fitnah itu bagaimanapun tidak dinyatakan secara terperinci lokasi sebenar berlakunya pencemaran sumber air berkenaan yang dikatakan menjejaskan penduduk beberapa kampung di kawasannya.
Katanya, satu lagi hantaran mendakwa pembalakan berlaku dalam kawasan Batu Kurau iaitu di Pantai Besar dan Bukit Jelai sehingga menyebabkan kerap berlaku banjir kilat di kawasan itu.
“Semakan mendapati pembalakan memang berlaku namun ia berlesen selain berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersebelahan seperti DUN Kubu Gajah, bukannya DUN saya.
“Namun kedua-dua hantaran itu jelas menuding kesalahan kepada saya. Wajar untuk saya menuntut siasatan yang adil bagi tindakan selanjutnya terhadap dua pemilik akaun terbabit,” katanya.




