TELUK INTAN: Penduduk Kampung Batu 9 Changkat Jong di sini berharap projek pembinaan kawasan perniagaan Kedai Desa di kampung itu diteruskan selepas bertahun-tahun terbiar dan dinaiki semak.
Bekas Ketua Kampung, Mohd. Ali Omar, 65, berkata, dia tidak pasti mengenai status projek tersebut sama ada terbengkalai kerana sehingga kini tidak dibuka untuk perniagaan.
Sebaliknya, menurut beliau, keadaan bangunan premis itu terbiar hingga dinaiki semak dan ini sudah tentu merugikan.
“Saya lihat kedai itu sudah hampir siap seperti tempat berniaga, tandas, tempat memasak, surau dan lain-lain kemudahan juga saluran paip air, longkang dan jalan masuk tetapi masih tidak digunakan, menyebabkan kawasan ini dinaiki semak.
“Jika pembinaannya terbengkalai, maka ia perlu diteruskan supaya ia tidak menjadi projek yang merugikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, jika premis perniagaan itu diteruskan pembinaannya, ini akan membolehkan peniaga terutama peniaga tepi jalan berpindah ke pusat perniagaan yang lebih selesa.
Katanya, ini juga dapat mengelak pelbagai risiko dari segi keselamatan kepada peniaga tepi jalan juga peniaga yang sering mengalami masalah banjir.
“Saya harap pihak berkenaan dapat meneruskan projek ini, adalah merugikan jika keadaannya terus terbiar sehingga dinaiki semak samun.
“Jika beroperasi, projek Kedai Desa ini boleh menampung keperluan penduduk di Batu 9 Changkat Jong dan memajukan kawasan ini,” katanya.-UTUSAN




