Baitulmaqdis: Tentera Israel mengesahkan 115 askarnya terbunuh setakat ini, termasuk 10 hari sebelumnya dalam serangannya terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.
Sebanyak 10 kematian yang dicatatkan pada Selasa menjadikannya hari paling tragis bagi tentera sejak serangan darat ke atas wilayah Palestin bermula pada 27 Oktober lalu.
Menurut senarai rasmi tentera yang terkorban, sembilan daripada mereka yang terbunuh pada Selasa adalah milik unit yang menurut jurucakap tentera, terbabit dalam pertempuran sengit di Shejaiya.
Dua daripada mereka yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah pegawai kanan.
Jurucakap Daniel Hagari berkata, mereka diserang ketika memasuki bangunan.
“Petang semalam (Selasa) sepasukan pejuang Golani (briged) memasuki sebuah bangunan, di mana mereka diserang dengan api yang kuat dan bertempur dengan pejuang Hamas.
“Lebih banyak pasukan briged, dibantu oleh unit penyelamat 669 Tentera Udara, menyerbu bangunan itu untuk menyelamatkan mereka,” katanya.
Seorang lagi pegawai tentera berkata, Shejaiya, sebuah daerah di Bandar Gaza, adalah kubu kuat Hamas dan rumah kepada kompleks bangunan saling berkait yang mengandungi simpanan senjata.
Menurutnya, pertembungan pada Selasa berlaku di tiga hingga empat bangunan yang diletakkan dengan bahan letupan.
Malah, pertempuran berlarutan selama beberapa jam.
Pegawai itu menyatakan bahawa kira-kira 350 pejuang Hamas terbunuh di Shejaiya, sejak permulaan serangan.
Perang di Gaza dicetuskan oleh serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, yang membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menyaksikan 240 lagi dijadikan tebusan, kata pegawai Israel.
Serangan balas tanpa henti oleh tentera Israel membunuh lebih 18,600 orang di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

