1,000 atlet Pahang terima insentif

1,000 atlet Pahang terima insentif

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Seramai 1,000 atlet Pahang menerima bayaran sekali bayar ‘one-off’ RM300 seorang daripada Kerajaan Pahang, hari ini.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata insentif itu bagi menghargai sumbangan atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara.

“Insentif ini adalah usaha sama antara Kerajaan Pahang dan Majlis Sukan Pahang (MSP) yang memandang pengiktirafan ini penting sebagai pencetus semangat kepada atlet supaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka.

“Kita harap 1,000 atlet ini sama ada yang berlatih di dalam dan luar negara ini bekerja keras untuk terus mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Insentif Pahang Pride Athlete di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Mengulas jumlah kutipan Tabung Pembangunan Sukan Pahang yang dilancarkan September lalu, Fadzli berkata, sejumlah RM600,000 dikutip setakat ini dengan Kerajaan Pahang menyasarkan RM1 juta kutipan bagi tempoh enam bulan dari tarikh pelancarannya.

“Kita yakin akan mencapai sasaran itu hasil daripada sumbangan syarikat di dalam dan luar Pahang serta individu dalam membantu meningkatkan pembangunan sukan di Pahang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top