hazwanfaisal@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Jaminan kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara menyeluruh melegakan peserta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan hotel.
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan, Persatuan pengusaha kecil dan sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata pihaknya amat mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri bahawa PKP secara menyeluruh tidak akan dilaksanakan.
“Ini kerana, dalam tinjauan yang dibuat kami pada Januari lalu, 45 peratus PKS mengatakan bahawa mereka hanya dapat bertahan dua bulan sebelum kehabisan wang tunai, sekiranya PKP terus dilanjutkan,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, William berkata perlanjutan Prihatin 3.0 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak serta dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta melalui BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp, akan dapat meringgankan beban PKS tempatan.
“Kami juga mengalu-alukan perlanjutan program subsidi upah selama tiga bulan lagi untuk sektor yang paling terkesan seperti industri pelancongan, perdagangan borong dan runcit.
“Selain itu, peningkatan dana geran dan kemudahan pinjaman untuk automasi pintar dan digitalisasi di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MIDF amat dialu-alukan,” katanya.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PEMERKASA bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara yang membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.
Sementara itu Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Dato N Subramaniam, berkata pakej bantuan itu menggariskan banyak bantuan ekonomi yang diperlukan secara umum, tetapi industri pelancongan memerlukan lebih lagi untuk bertahan.
“Ini susulan lanjutan larangan rentas negeri yang telah menjejaskan industri ini sekali lagi sejak awal Januari lalu.
“Namun, pengumuman kerajaan yang menyuarakan jaminan untuk melaksanakan tindakan bersasar bagi mengawal penularan COVID-19 berbanding PKP menyeluruh adalah sesuatu yang positif.
“Ini akan membolehkan aktiviti ekonomi dijalankan di dalam kawalan bersasar ini, sekali gus membolehkan sektor ekonomi untuk terus bertahan dengan lebih baik,” katanya.
Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel, berkata pihaknya memohon kerajaan supaya dapat dengan serta merta mempertimbangkan dan membenarkan pelancong domestik untuk merentas negeri dalam merancakkan semula industri perhotelan dan pelancongan.
“Kerajaan harus mengambil maklum bahawa penutupan sempadan negara dan negeri telah menjadi suatu faktor yang kini menyumbang kepada ketiadaan pelancongan domestik serta kekurangan pelanggan hotel.
“Kami juga berharap kerajaan dapat mengeluarkan Pakej Rangsangan Khas bagi industri perhotelan dan pelancongan yang telah terjejas sebelum penularan wabak COVID-19 di Malaysia pada akhir 2019 lagi.
“Ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh walaupun COVID-19 telah berjaya dikawal atau dihapuskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




