
Tze Yong. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kembali dengan misi lebih besar iaitu untuk mencetak nama sebagai antara 10 pemain terbaik dunia musim ini setelah menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik pada Jun tahun lalu.
Malah, pemain berusia 23 tahun itu juga mahu berada di landasan tepat dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
“Azam tahun baharu saya, supaya tidak mengalami kecederaan, berada dalam kelompok 10 terbaik dan layak ke Sukan Olimpik Paris,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia pada Selasa.
Pemain di ranking ke-15 dunia itu, kini berada pada kedudukan ke-13 dengan 57,080 mata di belakang pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang berada di tempat ke-11 (62,126 mata) dalam ranking Race to Paris.



